Antara amalan yang sering dilakukan oleh para ulama' pada bulan Sya'ban adalah seperti berikut:-
Pertama : Berpuasa.
Saidatina Aisyah r.a. berkata bahawa;
"Tidak pernah Rasulullah s.a.w. berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'ban (selain bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari)
Saidina Zaid r.a berkata bahawa:
"Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Ya Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Sya'ban dengan lain-lain bulan kecuali bulan Ramadan".
Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Itulah bulan Sya'ban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Allah Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa". (Riwayat Ahmad)
Kedua : Beristighfar, berselawat dan berzikir.
Oleh kerana bulan Sya'ban adalah bulan yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T. dan rasul-Nya, maka wajarlah kiranya sepanjang bulan itu kita memperbanyakan ibadah seperti beristighfar, berselawat kepada nabi, berzikir serta bertasbih.
Ketiga : Memperbanyakan membaca al Quran dan bersedekah.
Daripada Anas bin Malik r.a. katanya; sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila mereka melihat anak bulan dipermulaan bulan Sya'ban, mereka bersungguh-sungguh membaca al-Quran. Di samping itu, umat Islam dianjurkan mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin supaya golongan yang tidak bernasib baik ini akan memiliki kekuatan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Sebenarnya banyak lagi amalan yang boleh dilakukan dan kesempatan yang baik di bulan Sya'ban ini, marilah kita muhasabah diri bertaubat dengan memberhentikan semua kegiatan maksiat yang telah dilakukan, di samping memohon keampunan daripada Allah SWT. Marilah kita menunaikan tiap-tiap yang diwajibkan, di samping menjalankan tanggungjawab amar makruf dan mencegah kemungkaran. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa". (Ali-‘Imran : 133)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan